Mudahkan perhubungan Thailand-Malaysia - Utusan Malaysia

Mudahkan perhubungan Thailand-Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Julai – Perkhidmatan kereta api antara Sungai Golok, Thailand dan Pasir Mas perlu dihidupkan semula demi memudahkan jaringan perhubungan antara dua negara.

 Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berkata, ia penting kerana hubungan erat antara negeri ini khususnya dan Malaysia amnya dengan wilayah Selatan Thailand adalah formula untuk merancakkan kegiatan ekonomi dan sektor pelancongan.

 Beliau berkata, kemudahan pengangkutan keretapi mampu melonjakkan kemasukan pelancong Thailand ke sini sekali gus menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan jumlah 30 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan sebanyak RM100 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

 “Kelantan ada potensi luas dalam pelancongan, bagaimana hendak mencapai impian ini pada pendapat saya adalah dengan memberi fokus menarik pelancong dari Selatan Thailand kerana jarak yang dekat.

 “Pada tahun lalu sahaja sebanyak 520,000 pengunjung dari Thailand melawat Kelantan dan 1.9 juta ke seluruh Malaysia dan bilangan ini boleh melonjak lebih tinggi jika sistem pengangkutan ditambah baik.

 “Perkhidmatan kereta api bukan sahaja memudahkan penduduk dari sana masuk ke Kelantan malah sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya di sini baru-baru ini.

 Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar bagi menguar-uarkan Festival Produk dan Makanan Halal Thailand anjuran Pejabat Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Kota Bharu yang akan berlangsung di Pusat Beli Belah Aeon di sini bermula dari 30 Julai sehingga 4 Ogos ini.

 Sementara itu, Mongkol berkata, sebahagian landasan keretapi antara Sungai Golok ke Pasir Mas sepanjang 18.7 kilometer rosak akibat kejadian banjir besar pada 2014.

 Beliau berkata, pihaknya diminta oleh Kementerian Luar Negeri Thailand untuk menyiapkan kajian terperinci tentang manfaat besar menghidupkan semula landasan keretapi antara kedua-dua buah negara itu.

 “Sudah tentu keputusan akhir kelak berada di tangan pemimpin atasan kedua-dua buah negara. Apa yang pasti penduduk Thailand suka datang ke negeri ini kerana di Kelantan terdapat lebih 20 kuil Buddha untuk mereka lawati dan beri penghormatan,” katanya. 

 Mongkol berkata, sebarang masalah yang timbul boleh diselesaikan melalui persefahaman yang kukuh orang tempatan sendiri di sempadan tanpa perlu menunggu tindakan dari pusat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini