KUALA LUMPUR 23 Julai – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, seiring prestasi positif indeks serantau.
Pada 9 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.10 mata kepada 1,655.50 selepas ditutup pada 1,655.40 pada Isnin.
Indeks itu dibuka 0.67 mata lebih rendah kepada 1,654.73.
Di papan skor, kaunter untung berjumlah 119 berbanding 49 kaunter rugi manakala 149 kaunter tidak berubah, 1,571 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 64.85 juta unit bernilai RM23.74 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, walaupun indeks di bursa tempatan agak tinggi, namun masih wujud kekurangan petunjuk hala tuju dalam pasaran ekuiti.
“Kami terus berpandangan indeks utama dijangka meningkat perlahan dalam tempoh terdekat, justeru itu, indeks berkenaan mengalami tidak banyak perubahan selepas mencatatkan prestasi kukuh selama enam minggu yang menjadikannya mengalami terlebih beli.
“Sementara itu, penyusutan semula berterusan dijangka berlaku dalam tempoh terdekat memandangkan indeks utama itu dilihat memerlukan sokongan pada paras 1,650, yang dicatatkan semalam.
Bagaimanapun, peningkatan semula yang kukuh kekal sukar kerana masih terdapat beberapa petunjuk penting untuk menarik belian baharu,” kata firma penyelidikan itu dalam kenyataan. – BERNAMA











