Balai Polis Tronoh bakal dijadikan Muzium PDRM - Utusan Malaysia

Balai Polis Tronoh bakal dijadikan Muzium PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Polis Perak berhasrat mahu menjadikan Balai Polis Tronoh sebagai Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan ia mempunyai nilai sejarah yang tersendiri di balai berkenaan selain usianya yang mencecah lebih 100 tahun. 

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menulis surat kepada pengurusan Bukit Aman untuk merealisasikan cadangan tersebut agar koleksi sejarah tersebut dapat ditatap generasi akan datang.

“Balai Polis Tronoh yang dibuka sejak 1906 ini mempunyai nilai dan kisah sejarahnya yang tersendiri dan ia merupakan antara balai polis tertua di Malaysia selain Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor yang dibuka pada 1940.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika hasrat ini diluluskan, pelbagai barangan lama yang digunakan polis pada waktu itu termasuk gari, senjata-senjata dahulu seperti parang dan benet serta telefon lama akan dipamerkan di muzium ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Lawatan dan Penyerahan Perabot ke Balai Polis Bersejarah Balai Polis Tronoh yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (Start) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md. Isa di balai berkenaan hari ini.

Tambah Razarudin, pihaknya juga akan meminta kakitangan Muzium Polis Diraja Malaysia ini datang ke sini dan mencungkil sejarah sejak balai bersejarah ini dibuka.

“Sejak ia mula beroperasi sehingga 1948, keanggotaannya kebanyakannya daripada keturunan Sikh dan Gurkha sebelum PDRM meletakkan pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor di balai ini.

“Kita juga akan mencadangkan satu bangunan baru untuk operasi Balai Polis Tronoh bersebalahan balai sedia ada sekarang dengan tambahan 20 unit berek polis,” katanya.

Tambah beliau, kos untuk menjadikan Balai Polis Tronoh sebagai muzium dan pembinaan bangunan baru juga masih belum diputuskan memandangkan ia masih di peringkat cadangan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini