ISKANDAR PUTERI 22 Julai – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) di sini merancang untuk memperluaskan zon perdagangan bebas (FTZ) pada masa akan datang bagi menampung permintaan perkhidmatannya yang semakin tinggi ketika ini.
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Marco Neelson berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kawasan FTZ sedia ada seluas 141 hektar sudah hampir digunakan sepenuhnya dengan menempatkan 41 buah syarikat dan kilang di kawasan tersebut.
Katanya, inisiatif itu juga bertujuan membolehkan syarikat yang sudah bertapak di FTZ sedia ada untuk memperluaskan operasi mereka selain menarik minat penggiat industri baharu bertapak di sini.
“Kawasan FTZ sedia ada yang dibangunkan sejak 2005 sudah 95 peratus digunakan dengan menempatkan 41 buah syarikat dan kilang serta menghasilkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan.
“Kita tidak meletakkan garis masa untuk menyiapkan projek tersebut dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk menyediakan infrastruktur berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri ke PTP di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Solihan berkata, pihaknya menyokong cadangan PTP bagi memperluaskan FTZ pada masa akan datang malah bersedia membantu sebagai pemudah cara merealisasikan usaha berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri akan membantu untuk memudah cara dan memastikan prosedur bagi penyediaan tanah dapat diselesaikan secepat mungkin atau selewatnya hujung tahun ini.
“PTP mempunyai pelan yang baik untuk menjadi satu pelabuhan kontena terkemuka di dunia. Sebab itu, kita akan membantu percepatkan penyediaan tanah mungkin sebelum hujung tahun ini,” katanya.











