KUALA LUMPUR 22 Julai – RAM Ratings menjangkakan kadar inflasi akan meningkat kepada 1.6 peratus secara menyeluruh pada Jun didorong kesan asas yang rendah berikutan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tahun lepas.
Ketua Penyelidikannya, Kristina Fong berkata, kadar inflasi merosot kepada 0.8 peratus pada Jun 2018 selepas pemansuhan GST, daripada 1.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Katanya, peningkatan inflasi Jun dijangka disebabkan oleh pelbagai faktor secara menyeluruh. RAM juga menyemak turun unjuran inflasi untuk 2019 sebanyak satu peratus daripada 1.6 peratus sebelumnya.
“Setakat ini tekanan inflasi lebih rendah daripada yang dijangkakan, terutama daripada komponen makanan serta pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September lepas,
“Subsidi bahan api bersasar yang masih belum dilaksanakan, yang akan menaikkan harga bahan api pengguna ke paras pasaran pada suku kedua 2019, merupakan satu lagi faktor penyumbang utama kepada semakan semula itu,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Analisis sensitiviti RAM Ratings menunjukkan bahawa untuk setiap kelewatan sebulan dalam pelaksanaan skim berkenaan, inflasi utama akan mengubah 0.05 mata peratusan daripada kos asas mereka.
Sekiranya harga siling semasa dikekalkan apabila subsidi bersasar berkuat kuasa, inflasi utama akan turun pada 0.8 peratus tahun ini.











