Perang dagangan: Malaysia jadi pilihan - Utusan Malaysia

Perang dagangan: Malaysia jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Julai – Banyak firma Amerika Syarikat (AS) berminat untuk beroperasi di Malaysia dan berkemungkinan mempercepatkan langkah mereka ekoran ketidaktentuan yang disebabkan oleh ketegangan perdagangan AS-China.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) Michael W Michalak berkata, pemindahan rantaian bekalan itu sudah pun bermula dan dipercepat disebabkan isu perdagangan tersebut.

“Seperti yang anda lihat sepanjang bengkel hari ini bahawa Industri 4.0 (IR4.0), ekonomi digital akan menjadi tumpuan ekonomi maju,” katanya pada sidang akhbar sempena seminar sehari anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan USABC bertema Potensi Industri 4.0 untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Michalak berkata, usaha berterusan Malaysia dalam meningkatkan persekitaran kawal selia akan menarik lebih banyak syarikat beralih ke negara ini pada masa akan datang.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking berkata, pemindahan operasi firma asing ke Malaysia agak besar.

“Penting untuk kita memenuhi harapan mereka,” katanya, sambil menambah bahawa persekitaran IR4.0 perlu dipertingkat lagi di Malaysia supaya menjadi menarik kepada kebanyakan daripada mereka.

“Pada masa yang sama, bahagian pengawalseliaan kerajaan juga perlu diberi perhatian supaya apabila syarikat asing ma­suk ke Malaysia, mereka akan dapat menikmati dan mempunyai kemudahan yang mereka nikmati sebelum ini, malah le­bih baik,” katanya.

Firma besar AS dilaporkan menyegerakan usaha mereka untuk memindahkan lebih ba­nyak rantaian bekalan dari China ke negara pesat membangun, termasuk Malaysia.

Antara sektor yang terlibat termasuk teknologi, pakaian dan kasut.

Sejak bermulanya pertikai­an perdagangan antara AS dan China, komuniti perniagaan telah cuba menilai impak trend perdagangan.

Impak pertikaian AS-China ini berpotensi mengubah corak barangan yang didagangkan dan akan membawa lebih ba­nyak perniagaan ke bahagian dunia di sini.

Pakar-pakar perkapalan sebelum ini mendedahkan bahawa firma-firma perniagaan akan mencari kaedah penyelesaian terhadap tarif perdagangan, sekatan import dan perdaga­ngan bagi mengekalkan perniagaan mereka.

“Dari segi barangan, produk yang dihasilkan di China akan dipindahkan ke negara jiran, mendapatkan label berlainan mengeksport barangan ke AS, jika mereka mendapati eksport langsung terlalu mahal,” kata pakar berkenaan.

Tindakan AS dalam mena­ngani ketidakseimbangan dagangannya telah menyebabkan beberapa syarikat utama mengu­kuhkan operasi di Amerika Utara dan memindahkan sebahagian kapasiti pembuatan dari China ke negara lain termasuk Malaysia, Vietnam, Kemboja, Filipina, Bangladesh, India dan Ethiopia. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini