PUTRAJAYA 23 Julai – Para pesara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) boleh terus menyumbang kepada masyarakat dan negara dengan aktif dalam program kemasyarakatan disamping menjadi perantara mempromosikan program dan aktiviti kementerian.
Menterinya, Gobind Sing Deo berkata, pesara KKMM boleh menjadi perantara mempromosikan program dan aktiviti KKMM bagi meningkatkan kemahiran dan ekonomi rakyat seperti program e-usahawan, e-rezeki, mymaker (melahirkan pencipta kreatif dalam kalangan golongan muda).
“Jika setiap warga KKMM bersama-sama menghebahkan dasar dan polisi kerajaan, saya yakin gandingan padu ini pasti membawa kewibawaan dan kecemerlangan kepada KKMM dan perkhidmatan awam,” katanya semasa berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Bersama Warga KKMM di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.
Gobind pada majlis itu menasihatkan para pesara untuk sentiasa menjaga kesihatan dan merancang kewangan sebaik mungkin.
“Alam persaraan penuh dengan cabaran dan ketidaktentuan. Perancangan kehidupan persaraan memerlukan simpanan yang mencukupi, kesihatan mental dan fizikal serta rangkaian sosial yang luas.
“Warga tua juga senang untuk menghidapi penyakit. Oleh itu, perkara pertama adalah langkah penjagaan kesihatan, elak daripada penyakit yang serius dan menjalankan rawatan berkala, mengamalkan pemakanan seimbang dan mengawal kuantiti makanan,” katanya.
Sementara itu, wakil pesara pada majlis itu Ketua Pengarah Penyiaran Abdul Muis Shefii berkata, beliau dan rakan-rakannya bersyukur kerana sepanjang berkhidmat diberi kesempatan mempersiapkan diri dengan aspek ketrampilan diri, kesopanan dan nilai-nilai murni.
“Pelbagai pengalaman pahit manis dialami dan pengorbanan dibuat seperti meninggalkan keluarga, pulang lewat dan sebagainya tapi kami tetap tempuhi dengan penuh komitmen bagi memastikan tanggungjawab dipenuhi.
“Pengalaman yang ditempuh banyak memberi manfaat daam bentuk jati diri, disiplin dan taat pada peraturan,” katanya yang akan bersara wajib pada 1 Januari tahun hadapan.
Pada majlis tersebut, seramai 255 pesara dari KKMM dan agensinya seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Jabatan Perlindungan Data Peribadi, dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) diraikan. – BERNAMA











