JPN lapor polis isu gambar pendatang asing dapatkan status kewarganegaraan - Utusan Malaysia

JPN lapor polis isu gambar pendatang asing dapatkan status kewarganegaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berkaitan isu gambar di media sosial yang tular mengaitkan ibu pejabat jabatan itu dihadiri pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim, laporan polis berkenaan dilakukan supaya satu siasatan dijalankan selepas tuduhan di media sosial itu boleh menggugat ketenteraman awam dan merosakkan keharmonian negara.

Jelasnya, JPN memandang serius isu tersebut selepas perkara itu ditularkan oleh pihak yang tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tuduhan yang dibuat tersebut adalah tidak benar sama sekali dan akan merosakkan imej serta reputasi JPN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Menurut Jasni, gambar-gambar yang ditularkan itu merupakan gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai yang lalu yang dibantu oleh Unit MySel kerajaan negeri Selangor.

Jelasnya, mereka dari Pulau Ketam, Selangor yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran seperti permohonan kad pengenalan, kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

“Kita telah mendapat makluman bahawa mereka terdiri daripada golongan warga emas dan juga yang mempunyai kesukaran untuk hadir sendiri ke pejabat JPN untuk urusan pendaftaran.

“JPN juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran gambar yang tular itu sebenarnya merupakan situasi biasa setiap hari di pejabat sewaktu ramai individu mempunyai urusan rasmi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ingin menegaskan bahawa permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima oleh jabatan itu bukan tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja, malah menerima permohonan daripada pelbagai kaum dan bangsa di negara ini. 

“Permohonan kewarganegaraan hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja dan perlu mengikuti syarat yang ditetapkan namun, penganugerahan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang Persekutuan. 

“Taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada warga asing dan ianya tidak diberikan sewenang-wenangnya,” katanya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini