KUALA LUMPUR 23 Julai – Kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu penularan video intim yang dikatakan mirip seorang menteri kanan Kabinet dilihat sebagai cuba meredakan suhu politik semasa negara ketika ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga percaya, Dr. Mahathir dalam kenyataan menerusi laman blognya itu berhasrat supaya semua pihak kembali fokus kepada tugas hakiki berbanding terus membincangkan mengenai isu video berkenaan.
“Saya percaya bahawa kenyataan Tun Dr. Mahathir itu diberi dalam konteks untuk menenangkan suhu politik yang saban hari dihidangkan dengan tajuk itu.
“Kita ada tugas dan tanggungjawab lain dan kehidupan mesti diteruskan seperti biasa, walaupun saya belum baca, tapi saya percaya hasratnya adalah untuk mengembalikan fokus, tumpuan dan kerja kuat kita daripada terus kita bercakap perkara itu setiap hari,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 di sini hari ini.
Saifuddin Nasution mengulas kenyataan Dr. Mahathir menerusi catatan dalam laman blog, chedet.cc. bahawa beliau tidak sanggup diperalatkan untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam isu penularan video itu.
Perdana Menteri berkata, beliau percaya video intim itu dibuat dan ditular untuk tujuan politik khususnya untuk menghalang kejayaan politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Sementara itu, tambah Saifuddin Nasution, PKR masih dengan pendirian untuk menyerahkan kepada pihak polis untuk terus menyiasat dalam isu video intim tersebut.
“Pendirian kita, pendirian saya juga sebagai Setiausaha Agung parti adalah pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan kita pulangkan kepada siasatan pihak polis sehingga ke akhirnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











