JOHOR BAHRU 23 Julai -Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas kereta yang dipandu ibunya dirempuh sebuah bas setelah melanggar lampu isyarat merah dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian itu, ibu kanak-kanak itu dan dua lagi adik perempuan mangsa masing-masing berusia 7 dan 9 tahun cedera ringan.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki itu yang merupakan penumpang hadapan kenderaan berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan pada kira-kira 4.10 petang itu berlaku semasa kereta Proton Saga dinaiki kesemua mangsa
dari arah Gelang Patah menghala ke Mutiara Rini itu sedang membelok ke kanan pada lampu isyarat merah.
“Sejurus membelok kereta dinaiki dirempuh pada bahagian kiri oleh bas yang bergerak lurus dari arah Mutiara Rini menghala ke Gelang Patah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, ekoran kemalangan itu, kereta terbabit mengalami kerosakan di bahagian pintu hadapan dan belakang kiri manakala bas jenis Nissan itu pula rosak di bahagian hadapan kiri.
Beliau berkata, kanak-kanak lelaki itu bersama dua adik perempuannya dihantar ke Hospital Columbia Asia sebelum mangsa meninggal dunia di hospital berkenaan pada 4.45 petang semasa mendapatkan rawatan.
“Ibu mereka yang berumur 43 tahun cedera ringan di bahagian peha kanan manakala pemandu bas iaitu seorang lelaki berumur 43 tahun, tidak cedera,” katanya.
Dzukhairi berkata, kes itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE.











