SEBERANG PERAI – Seorang bekas banduan yang baru dibebaskan ditahan polis selepas bertindak membakar dinding rumah keluarganya di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, penagih dadah lelaki berusia 34 tahun tersebut dikatakan telah menyimbah dinding pada bahagian hadapan rumah dengan minyak petrol sebelum mencucuh api kerana marah akibat kelaparan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu disedari oleh ibu suspek sebelum memaklumkan kepada suaminya yang sedang tidur.
“Ayah suspek berusia 63 tahun yang bergegas bangun telah memadamkan kebakaran pada dinding kayu, namun terdapat sedikit kesan hitam pada dinding.
“Suspek dikatakan telah menyimbah minyak petrol selepas menyedutnya daripada sebuah motosikal menggunakan getah paip dan mencucuh api dengan pemetik api,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan ke atas suspek yang ditahan semalam mendapati dia bertindak demikian kerana mendapati tiada makanan di dapur.
“Suspek yang positif dadah jenis syabu itu juga telah beberapa kali mengugut mahu bakar rumah sebelum ini selain mahu membunuh ayahnya.
“Kebakaran itu adalah kejadian pertama, namun sudah tiga laporan polis dibuat terhadapnya yang telah ditarik balik sebelum ini kerana bapanya enggan memanjangkan kes,” katanya lagi.
Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











