KUALA LUMPUR 23 Julai – Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.
Strategi itu dirumuskan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FENetwork), satu kumpulan yang terdiri daripada beberapa agensi yang diterajui bersama BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Agensi-agensi yang turut sama terlibat dalam jaringan itu adalah Kementerian Pendidikan, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan Permodalan Nasional Bhd..
Strategi ini menetapkan keutamaan dan pelan tindakan untuk menyediakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan supaya mereka mampu membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang mencukupi dan memupuk sikap yang berhemat dalam pengurusan kewangan.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran; Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.-UTUSAN ONLINE











