KUALA LUMPUR 23 Julai – Seorang gadis maut selepas motosikal yang dibonceng bersama rakan lelakinya terlibat dalam satu kemalangan di Batu 21 Beratok Jalan Kuching-Serian, Kuching, Sarawak,semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian sekitar pukul 6.50 pagi itu dikenali sebagai Phira Brewin, 18.
“Motosikal ditunggang lelaki yang juga berusia 18 tahun bersama mangsa itu bergerak dari arah Kuching menuju ke Serian sebelum hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan.
“Selepas melanggar besi penghadang jalan, penunggang meluru ke sebelah kiri jalan lalu terbabas manakala remaja perempuan mengalami cedera parah di bahagian kepala dipercayai selepas tercampak pada besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Alexson, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki kiri.
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











