PARIS, Perancis – Seorang penunggang basikal gunung warga Perancis mencabar diri dengan melakukan aksi lompatan berani di atas platun acara berbasikal Tour de France yang disifatkan pencapaian terbaik seumur hidupnya, lapor portal news.com.au.
Valentin Anouilh, 21, melakukan ‘lompatan sempurna’ pada peringkat ke-10 lumba berbasikal lebuh raya itu selepas membuat latihan selama enam bulan.
Tidak seperti individu pertama yang cuba melompat Tour de France, Dave Watson yang terjatuh selepas melakukan aksi tersebut pada tahun 2003, usaha keras Anouilh berjaya tanpa menghadapi sebarang rintangan.
“Saya pernah melompat di atas jalan raya lain sebelum ini tetapi ketika melihat laluan Tour de France pada Oktober 2018, terlintas dalam fikiran untuk melompat melintasi platun tersebut ,” kata Anouilh kepada akhbar USA Today.
“Ia umpama seperti mimpi ketika zaman kanak-kanak sejak saya melihat lompatan Dave Watson,” katanya. – Agensi











