SINGAPURA 22 Julai – Sekumpulan lanun menyerang sebuah kapal kargo Korea Selatan di Laut China Selatan hari ini, menyerang kru dan melarikan wang tunai ribuan dolar.
Lapor Channel News Asia yang memetik pihak berkuasa Korea Selatan berkata, dua orang kru cedera ringan apabila seramai tujuh lanun menaiki kapal CK Bluebell.
Mereka melarikan wang tunai AS$13,000 (RM53,500) dan barangan peribadi termasuk telefon bimbit, pakaian dan kasut milik 22 orang kru kapal.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Korea Selatan berkata, kumpulan lanun yang bersenjatakan pistol menyerang kapal CK Bluebell ketika sedang dalam perjalanan ke pelabuhan Incheon di Korea Selatan.
Menurut pegawai Korea Selatan, kapal itu bagaimanapun berlayar secara biasa selepas kejadian tersebut.
Pada kebiasaannya kapal kargo belayar pada kelajuan di bawah 15 knot. Bagaimanapun bot laju yang digunakan lanun mendekati kapal kargo itu pada kelajuan melebihi 20 knot.
Mereka dikatakan menaiki kapal berkenaan dan menyerang kru kapal kira-kira 30 minit.
Bagaimanapun, polis Singapura yang mengawal kawasan perairan itu setakat ini tidak memberikan sebarang komen berhubung insiden berkenaan.
Awal bulan ini, pihak berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) mendakwa, mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai ancaman terhadap mana-mana kapal yang belayar melalui Selat Melaka dan Singapura mahupun ke atas kapal yang didaftarkan di Singapura.
Pengumuman itu dibuat selepas China meningkatkan tahap keselamatan untuk kapal-kapalnya menuju Selat Melaka dan tiada alasan diberikan berikutan langkah itu. – AGENSI











