KUALA LUMPUR – Pemain badminton perseorangan wanita, Boon Wei Ying terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama, Shen Yan-Ru 20-22, 16-21 untuk hanya meraih pingat gangsa pada Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia Kelima 2019.
Kemaraan anak jati Melaka berusia 24 tahun yang tidak dilabel sebagai pilihan itu tetap dianggap membanggakan negara, sekalipun disekat pemain tuan rumah dalam saingan separuh akhir di Gimnasium Taipei, Taiwan itu.
Pingat gangsa pada kejohanan itu merupakan pencapaian kedua terbaik Wei Ying yang juga pemenang pingat perak beregu campuran Sukan Deaflympic di Samsun, Turki, dua tahun lalu.
Seorang lagi wakil negara, Foo Zu Tung pula terkandas seawal pusingan kedua lagi, apabila tewas kepada Olga Dormidontova dari Rusia 14-21, 21-15, 13-21. Semalam, gandingan mereka juga disekat pasangan tuan rumah, Fan Jung-Yu-Shjen Yan-Ru 15-21, 21-17, 19-21 dalam suku akhir beregu wanita. – UTUSAN ONLINE











