Ibu tunggal hidap kanser rayu bantuan  - Utusan Malaysia

Ibu tunggal hidap kanser rayu bantuan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH  – Seorang ibu tunggal sering bergenang air mata apabila memikirkan nasib dan masa depan anaknya yang ketika ini terhimpit dalam kemiskinan selepas kematian suaminya, lima bulan lalu. 

Demikian yang diluahkan Norhayati Mahmud, 48, yang turut menyatakan rasa buntu apabila tidak tahu bagaimana untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi dirinya sendiri yang menghidap kanser payu dara tahap tiga. 

Menurutnya, dia tidak mempunyai sumber kewangan lain dan bergantung saki-baki wang yang disumbangkan oleh orang ramai semasa suaminya, Azman Sulaiman 45, meninggal dunia. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wang sumbangan itu saya berjimat untuk menampung perbelanjaan keluarga. Sehari, satu lauk sahaja untuk dimakan bersama anak-anak. Belanja untuk ubat-ubatan, rawatan saya pula tinggi. 

“Anak saya yang berusia 18 tahun baru sahaja tiga minggu bekerja, namun pendapatan kami tidak menentu, tiga lagi masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Semenyih Parklands, di sini hari ini. 

Tambah Norhayati, rumah yang mereka diami ketika ini disewa hasil daripada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS). 

Terdahulu, Norhayati menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Sosial Briged Aman Malaysia, Azhari Yusof. 

Sementara itu, Abu Bakar menjelaskan beliau simpati dengan nasib yang menimpa Norhayati sekeluarga selain turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

“Saya bersama Muhammad Aiman dan Azhari hari ini ziarah untuk melihat sendiri keadaan keluarga Norhayati selain menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban kesempitan yang ditanggungnya,” katanya. 

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Norhayati boleh menghubunginya di talian 0122461064. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini