Ratu Elizabeth II monarki paling lama di dunia - Utusan Malaysia

Ratu Elizabeth II monarki paling lama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RATU Elizabeth II yang kini berusia 93 tahun merupakan ‘Ratu England’ yang paling lama dalam sejarah monarki di dunia, sejak 67 tahun lalu.

Baginda yang naik takhta pada 6 Februari 1952 setelah ayahandanya, Raja George VI mangkat pada usia 56 tahun. Ketika itu Elizabeth baru berusia 26 tahun.

Majalah Time edisi khas pada Ogos 2018 menyiarkan laporan khas bertajuk: Queen Elizabeth II: World’s Longest-Reigning Monarch.

Memuatkan artikel berkaitan…
MAJALAH TIME edisi khas menyiarkan foto Ratu Elizabeth II sempena ulang tahun ke-65 baginda memerint
MAJALAH TIME edisi khas menyiarkan foto Ratu Elizabeth II sempena ulang tahun ke-65 baginda memerintah England pada Ogos 2018.

Baginda atau nama sebenarnya Elizabeth Alexendra Mary dilahirkan pada 21 April 1926 anak pertama Raja Albert, The Duke of York, putera ke­dua Raja George V.

Kedudukan ini meletakkan baginda Ratu sebagai pewaris ketiga takhta Inggeris selepas bapa saudaranya Raja Edward, Prince of Wales dan ayahandanya sendiri, Raja Albert.

Mengimbau sejarah zaman kanak-kanaknya, Elizabeth kurang mendapat perhatian masyarakat umum. Pada 20 Januari 1936, Raja George V mangkat dan Putera Edward automatik dilantik menjadi raja berikutnya dengan gela­ran Raja Edward VIII.

Namun beberapa bulan setelah menjadi Raja England, niat baginda untuk menikahi Wallis Simpson dari Amerika Syarikat yang berstatus janda ditolak pihak gereja dan rakyat England sendiri. Tetap dengan cintanya, baginda turun takhta England pada 10 Disember 1936.

RATU Elizabeth II menjadi penghias edisi pertama akhbar Utusan Zaman terbitan Utusan Melayu dengan t
RATU Elizabeth II menjadi penghias edisi pertama akhbar Utusan Zaman terbitan Utusan Melayu dengan tajuk “Mastika Ibu Jajahan Empayar British” pada 5 November 1939 di Singapura”.

Secara automatik, ayahanda Elizabeth, Raja Albert menaiki takhta lantas memakai gelaran Raja George VI dan peluang puteri baginda terbuka luas sebagai calon pertama pewaris takhta England.

Tuah akhirnya menye­belahi Elizabeth apabila pada 6 Fe­bruari 1952 baginda Raja George VI mangkat pada usia 56 tahun ketika sedang beradu.

Sebagai menghormati kemangkatan baginda, Utusan Melayu menyiarkan berita kemangkatan Raja George VI di halaman utamanya selama tiga hari berturut mulai pada 7 Februari 1952 dengan tajuk: “Raja George mangkat di Sandringham dalam masa beradu”.

“Dengan dukacitanya diberitakan dari London bahawa baginda Raja George ke-6 telah mangkat pada subuh di Sandringham semalam ketika ba­ginda sedang beradu dengan nyenyak (pukul 5.41 petang waktu Malaya). Baginda ber­usia kira-kira 56 tahun.

“Satu maklumat yang rasmi menyatakan baginda akan digantikan oleh Ratu Elizabeth, Puteri baginda yang sulung, isteri kepada Duke Edinburgh yang sekarang berada bersama-sama di Kenya, Afrika berhubung dengan lawatan diraja ke negeri-negeri Komanwel”.

Akhbar Utusan Melayu pada 8 Februari 1952 me­laporkan “Raja Perempuan bergelar ‘Elizabeth Yang Kedua’ akan menetapkan hari pemakaman ayahandanya”.

Berita dari London pada 7 Februari 1952 itu memetik kenyataan media berbunyi: “Lembaga Penasihat Diraja yang telah bersidang semalam, dengan rasminya telah memberi gelaran kepada Raja Pe­rempuan yang baharu sebagai “Queen Elizabeth Yang Kedua” dan mengisytiharkannya sebagai “Raja Perempuan British Yang Baharu”.

“Istiadat membacakan perisytiharan itu dengan rasmi akan diadakan apabila Ratu Elizabeth tiba di sini daripada Afrika pada petang ini.

“Ratu Elizabeth yang akan membuat segala keputusan mengenai hal ehwal diraja akan menetapkan tarikh me­ngadakan istiadat memakamkan jenazah ayahandanya”.

Akhbar Utusan Melayu pada 9 Februari 1952 melaporkan: “Gimson mengisytiharkan Ratu Elizabeth jadi Raja”.

Berita itu melaporkan: “Sir Franklin Charles Gimson, Gabenor British di Singapura akan mengisytiharkan pertabalan Queen Elizabeth II (Yang Kedua) naik takhta Kerajaan British dalam satu upacara yang besar di tengah bandar raya Singapura”.

Setelah naik takhta, selain menjadi Ratu England, Ratu Elizabeth sekali gus dinobatkan sebagai “Queen of Commonwealth Realms” yang terdiri daripada United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Pakistan dan Sri Lanka

Upacara penobatan sebagai Ratu England dilakukan hampir setahun setelah baginda menaiki takhta, iaitu pada 2 Jun 1953. Seramai tiga juta rakyat Britain membanjiri jalan-jalan raya mengalu-alukan majlis perarakan baginda ke Westminster Abbey dan upa­cara itu ditonton kira-kira 20 juta orang melalui televisyen di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini