PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Baru, Selangor, petang tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, tangkapan itu ada kaitan dengan kes tangkapan sebelum ini membabitkan seorang peguam, timbalan pendakwa raya dan beberapa anggota polis.
“Siasatan berkenaan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.
“Sejumlah wang juga telah dirampas ketika tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini membenarkan tempoh reman terhadap seorang peguam dan seorang timbalan pendakwa raya dilanjutkan dua hari berakhir esok.
Tempoh reman itu bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes menuntut bayaran membebaskan PATI.
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, sebahagian anggota polis yang ditahan juga akan disambung reman bagi membantu siasatan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, sembilan anggota polis antara 11 ditahan oleh SPRM pada Rabu lalu selepas dipercayai terbabit kes rasuah dan rompakan membabitkan warga asing di Selangor.
Mereka ditahan atas kesalahan menerima suapan bagi melepaskan sembilan PATI daripada tahanan pihak berkuasa.
Dalam operasi khas itu, SPRM menemui wang tunai sebanyak RM17,500 dipercayai suapan yang diterima mereka. – K! ONLINE











