PERNAH dengar kisah Arnab dan Beruang? Sebenarnya kisah ini diceritakan lama dulu, 2 dekad yang lalu, tapi diceriterakan lagi saat ini kerana kesesuaian nya dalam beberapa perkara yang sedang mungkin akan berlaku di negara ini.
Kisah bermula dengan pertandingan antara polis perisikan seluruh dunia. Setiap negara diwakili oleh 5 orang yang terbaik dari pasukan polis risikan. Berkumpullah semua pasukan perisikan di Negara Bersatu, tuan rumah pertandingan. Setelah beberapa hari menjalani pusingan awal, hanya pasukan polis perisikan tiga negara berjaya masuk pusingan akhir.
Pasukan yang hebat itu terdiri dari tuan rumah Negara Bersatu, polis perisikan dari negara Antah Berantah dan dari Negara Bolehland. Maka tibalah hari yang ditunggu-tunggu di pentas pusingan akhir. Semua pasukan telah bersedia dengan perkakas, stamina dan strategi.
Pertandingan akhir memerlukan pasukan yang bertanding mencari Arnab dalam hutan tebal yang telah diperuntukkan untuk setiap pasukan. Setelah enam jam pusingan akhir berjalan, pasukan yang terlibat telah melaksanakan operasi risikan mereka, maka tibalah masa untuk menobatkan pemenangnya.
Tempat ketiga jatuh kepada pasukan polis perisikan dari negara Antah Berantah. Pasukan ini telah tebang semua pokok-pokok di hutan itu dan membuktikan bahawa tiada Arnab dalam hutan itu.
Naib Johan dimiliki oleh pasukan polis perisikan tuan rumah Negara Bersatu. Pasukan ini telah membakar seluruh hutan itu dan membuktikan bukan sahaja Arnab, malah mayat nya dan binatang lain tidak ditemui.
Johan pertandingan ini dinobatkan kepada pasukan perisikan Negeri Bolehland yang telah membuktikan kecekapan mereka dari segi perisikan, tangkapan dan penyiasatan. Tim Bolehland ini telah membawa keluar seekor beruang dari hutan tersebut yang diikat lehernya dengan rantai besi. Pokok-pokok tidak ditebang maupun dibakar. Tetapi beruang itu kelihatan lemah, terdapat tanda lebam di muka dan badannya dengan matanya bengkak hitam.
Yang lebih menarik perhatian semua pengadil adalah beruang itu boleh berkata-kata, dan beruang itu terus mengulangi kata-katanya “Sayalah Arnab yang dicari itu, Sayalah Arnab yang dicari itu…..”. Begitulah hebat nya pasukan risikan dari Bolehland dan selayaknyalah mereka menjadi juara.
Seminggu dua ini rakyat Malaysia digemparkan sekali lagi dengan kisah video lucah. Kali ini salah seorang pelakunya dengan berani mengaku dirinya dalam video itu dan ‘menuduh’ siapa rakannya dalam video tersebut.
Ingatkan perkara ini tidak akan berlaku lagi dalam Malaysia Baru. Dan amat menarik kalau difikirkan kenapa ianya boleh berlaku sedangkan Kerajaan PH bertungkus lumus hendak mengotakan janji pilihanrayanya, membetulkan kerosakan negara dari jenayah 1MDB dan melonjakkan ekonomi negara.
Semestinya politik jijik ini tidak harus berlaku lagi. Baguslah kes ini terus dibawa ke penyiasatan untuk menentukan ketulenan video itu, siapa yang membuatnya, siapa yang menyebar nya dan siapa pelaku yang seorang lagi kerana perlakuan seks sejenis dikira jenayah mengikut undang-undang Malaysia walaupun atas kerelaan sendiri.
Kalau dalam zaman dulu masa Mahathir 1.0 dan Najib 1.0, pengakuan ‘mangsa’ adalah sebahagian bukti untuk mensabit kesalahan. Tak kisahlah kalau pengakuan ‘mangsa’ dibuat dalam keadaan tertekan dan terpaksa. Kalau dulu rakaman cctv di lobi bangunan tempat berlakunya kes juga adalah sebahagian dari bukti yang dapat mensabitkan kesalahan walaupun tidak sampai ke bilik.
Kalau dulu mangsa juga dihantar ke hospital untuk diperiksa samada benar telah berlaku perkara terkutuk itu. Bukan satu, tapi dua kali, setelah satu yang sebelum itu tidak terbukti. Kalau dulu tilam juga boleh diheret ke mahkamah sebagai saksi untuk mensabitkan kesalahan.
Itu dulu. Sekali air bah, sekali itu pantai berubah. Mangsa tidak dihantar ke hospital untuk pemeriksaan. Mungkin kerana ‘mangsa’ sendiri telah mengaku. Atau belum ke tahap perlakuan ‘jenayah’ itu. Rakaman CCTV hotel mungkin tidak lagi digunakan sebagai bukti walaupun hotel bintang lima pastinya mempunyai rakaman dan rakamannya meliputi semua tingkat dan laluan ke bilik-bilik.
Kenyataan KPN tentang video itu sangat dialu-alukan walaupun sebenarnya ia mengundang banyak persoalan dan misteri seperti yang dinyatakan oleh Datuk A Kadir Jasin baru-baru ini. KPN telah menyatakan video itu tulin bukan rekayasa, tetapi KPN juga turut menyatakan bahawa pakar cyber-security tidak dapat mengecam pelaku yang seorang lagi.
Ini yang menimbulkkan banyak tanda-tanya dan persoalan seperti yang turut ditimbulkan beliau. Pastinya beliau bukan nak mengajar, malah jauh sekali nak campur-tangan atau mempengaruhi dalam penyiasatan polis. Tetapi perkara ini dikira logik dan mudah difahami waimma oleh rakyat biasa.
Apakah penyiasatan ini hanya mengambil video perlakuan seks sejenis itu sahaja atau seharusnya digarap dan dihubung-kait bersama dengan rakaman cctv hotel tentang pergerakan seseorang yang pastinya dapat memberikan beberapa klu yang dikehendaki?
Apakah teknik dari kisah beruang yang mengaku arnab itu digunakan hingga KPN membuat kenyataan bahawa seorang pemimpin sebuah parti politik terlibat dalam pembuatan dan pengedaran video itu dengan belanja ratusan ribu ringgit?
Apakah pengakuan dari mereka yang direman dan disiasat itu digunapakai untuk menyimpulkan dan mengumumkan pemimpin sebuah parti politik itu terlibat? Tidakkah pengumuman itu pra-matang atau sengaja untuk mengalihkan perhatian?
Dan kalau pengakuan ‘si beruang’ diterima untuk mengimplikasikan pemimpin sebuah parti politik, kenapa tidak pengakuan ‘si beruang’ yang mengaku dialah pelaku dalam video seks itu dan pengakuannya tentang ‘rakannya’ dalam video itu tidak diterimapakai?
Apa pun kita tunggu sehari dua ini, siapakah pemimpin parti politik itu? Apakah dia akan didakwa kerana ‘mengarahkan dan membiyai’ pembikinan video itu? Bersama dengan itu juga, kita tunggu apakah pelaku yang mengaku dia dalam video itu akan didakwa juga atas kesalahan ‘jenayah’ yang dilakukannya. Amat berani dia mengaku secara sukarela sedangkan dia tahu implikasi terhadap dirinya dan masadepannya.
Ramyat yakin PDRM di bawah kepimpinan KPN yang baru itu akan menjalankan penyiasatan yang menyeluruh dan adil. Sesungguhnya rakyat mempunyai kepercayaan dan menaruh harapan yang tinggi terhadap KPN baru dalam memulihkan imej PDRM. Kita yakin pemulihan imej PDRM itu nanti pastinya dapat membantu keyakinan pelabur asing untuk kembali melonjakkan ekonomi negara.
Rakyat berharap penyiasatan tidak hanya menjurus kepada siapa yang membuat dan menyebar video itu sahaja sedangankan pelaku yang terlibat dalam pelakuan jenayah yang jijik itu ‘terlepas’ begitu sahaja.
Wai Tee
22 Julai 2019











