KUALA LUMPUR 22 Julai – Malaysia menaruh keyakinan tinggi untuk terus menjadi salah sebuah negara anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICOA) di bawah Kategori lll bagi tahun 2019 hingga 2022.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keyakinan dan harapan tersebut dinilai berdasarkan peranan dan sumbangan Malaysia dalam sektor penerbangan di peringkat global.
“Malaysia sudah menjadi ahli majlis bagi kategori ini sejak 2007. Kita harap dapat terus mengekalkan kedudukan kita dalam keanggotaan tersebut kerana kita telah memberi pelbagai sumbangan dan memainkan peranan yang baik dalam aspek penerbangan.
“Kita juga sedang berusaha memberi sumbangan dari segi keselamatan penerbangan, latihan dan juga pembangunan untuk negara-negara membangun,”katanya ketika ditemui selepas majlis minum petang bersama lebih 50 duta-duta asing di Hotel Mandarin Oriental, hari ini.
Majlis minum petang tersebut diadakan bagi membuat pengumuman rasmi hasrat Malaysia untuk menjadi calon bagi terus bertanding dalam pemilihan anggota ICAO yang akan diadakan di Canada pada September tahun ini.
Tambah Siew Fook, amat penting bagi Malaysia untuk terus menjadi anggota ICAO bagi menentukan hala tuju sektor penerbangan negara dari pelbagai sudut.
“ICAO merupakan satu pertubuhan antarabangsa yang diiktiraf dunia. Apabila kita berada di bawah majlis ini sudah tentunya kita ada suara dalam menentukan hala tuju penerbangan negara baik dari segi dasar dan sebagainya.
“Kita sebagai negara yang ingin menjadi sebuah negara hab dalam sektor penerbangan di rantau Asia Tenggara, sudah tentu kedudukan kita sebagai ahli majlis itu sangat penting. Ia juga dapat menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dan dihormati seluruh dunia,” jelasnya.
Ditanya adakah status sektor penerbangan negara melibatkan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) yang berkemungkinan menjejaskan tanggapan negara asing terhadap Malaysia, Siew Fook memberitahu, perkara tersebut tidak perlu untuk dirisaukan.
“Saya rasa tidak kerana perkara itu lebih menjurus kepada isu domestik, yang penting dalam peringkat ICAO ini adalah apa tanggungjawab dan peranan yang dapat kita mainkan. – UTUSAN ONLINE











