Dua lelaki bebas tuduhan bunuh di lampu isyarat Setapak - Utusan Malaysia

Dua lelaki bebas tuduhan bunuh di lampu isyarat Setapak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR –  Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dua lelaki yang sebelum ini didakwa membunuh seorang pemilik syarikat peminjam wang di persimpangan lampu isyarat bersebelahan pusat beli-belah Setapak Sentral, tiga tahun lalu. 

Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak melepas dan membebaskan D. Manivannan, 46,  dan 
K. Ram Kumar, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan itu. 

Dalam penghakimannya, Mohd. Sofian berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mengaitkan kedua-dua tertuduh sebagai penembak pada masa kejadian tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh demikian, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh melakukan tembakan pada hari tersebut sehingga menyebabkan kecederaan dan seterusnya membawa maut kepada si mati, ” katanya. 

Tambah beliau, mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal memanggil seorang pekerja restoran dikenali sebagai Hisyam bagi membuat pengecamanan ke atas salah seorang tertuduh dalam kes ini iaitu Ram Kumar.

“Hisyam hanya mengecam tertuduh itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang ditunjukkan kepadanya ketika siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat dan Hisyam tidak berada di tempat kejadian malahan dia hanya merupakan seorang pekerja di sebuah restoran yang terletak berhampiran tempat berkenaan,” ujarnya lagi.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa membunuh V. Kandasamy, 44, di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak, Wangsa Maju di sini,  pukul 3.35 petang, 27 Julai 2016.

Berikutan pertuduhan dikemukakan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikenalikan oleh Nur Ashikin Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh. 

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Januari tahun lalu seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. 

Pada 10 Ogos 2016, media melaporkan, mangsa yang menetap di Wangsa Maju itu mati ditembak dengan kejam selepas terkena 10 daripada 18 das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat oleh dua suspek terbabit di bahagian kepala, badan dan paha.

Kandasamy yang dipercayai orang kanan ahli kumpulan kongsi gelap, Geng Satu Hati telah memandu kereta jenis Honda Accord tersebut secara bersendirian sebelum memberhentikan keretanya di lorong kanan jalan di persimpangan lampu isyarat bersebelahan pusat beli-belah tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini