Tentera Malaysia, Indonesia jalani latihan bersama - Utusan Malaysia

Tentera Malaysia, Indonesia jalani latihan bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) menjalani Latihan Kerjasama Lintas Udara Malaysia-Indonesia (Eksesais LINUD MALINDO) 2019 di kawasan Gong Kedak di sini, dan Bachok di Kelantan bermula semalam hingga Khamis.

Pegawai Memerintah Batalion ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para), Lt Kol Zulkifli Raub berkata, dalam eksesais itu TDM diwakili 1,246 pegawai dan anggota 10 Briged (Para) dan TNI-AD diwakili 40 pegawai dan anggota dari SATGAS LINUD.

Beliau berkata eksesais itu berkonsepkan ‘Airborne Operation’ yang memberi pendedahan mengenai operasi guguran besar, guguran udara dan peperangan konvensional.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami praktikkan tentang situasi peperangan sebenar yang mana musuh berada dalam kumpulan kecil di merata-rata kawasan operasi.

“Para (penerjun) kami akan terjun dari pesawat dan berpecah untuk menentang musuh,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi eksesais itu di Kampung Nangka, di sini hari ini.

Zulkifli berkata, selepas 166 anggota Para (penerjun) diterjunkan, mereka diberi masa selama 72 jam untuk berjalan sejauh 40 kilometer ke lokasi eksesais terakhir iaitu Pantai Irama, Bachok Kelantan.

Katanya, Eksesais LINUD MALINDO diadakan setiap tahun sejak 2004 dengan Malaysia dan Indonesia secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah.

Sementara itu, Komandan Batalion Yonif Para Raider 501/BY Lt Kol Risa W.P Setyawan berkata, latihan antara dua negara penting demi menjaga keamanan negara-negara Asia Tenggara.

“Manfaatnya adalah kami akan saling mengerti. Tentunya dalam praktik dan strategi (Malaysia dan Indonesia) ada sedikit perbezaan namun ia sangat penting untuk kedua-dua negara saling berkongsi kemahiran dan pengalaman ketenteraan.

“Ini kerana sekiranya keamanan Malaysia dan Indonesia terganggu, kami harus melaksanakan operasi ketenteraan bersama jadi kami sudah faham antara satu sama lain,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini