PASIR MAS 22 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM26,010 dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan pertama di dalam sebuah bangsal di kawasan kebun getah dekat Kampung Gong Dayak, Tok Uban dekat sini, anggota PGA telah merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM14,010.
Menurutnya, serbuan pukul 6.45 petang itu turut menahan seorang penganggur berusia 19 tahun yang dikatakan orang tengah dalam mengedarkan bahan terlarang itu.
“Ketika ditahan satu pergelutan telah berlaku setelah suspek cuba bertindak melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan, anggota PGA telah menemukan 700 biji pil Eramin 5; 27 liter kodien dan 17 kilogram (kg) daun ketum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdullah memberitahu, suspek yang berasal dari Kampung Bechah Kida itu bagaimanapun negetif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Ujarnya, kesemua dadah itu adalah untuk pasaran di sekitar Pasir Mas dan saringan air kencing mendapati suspek negetif.
“Serbuan kedua di Rantau Panjang pada pukul 8 malam, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dalam keadaan mencurigakan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik mengandungi Erimin 5,” ujarnya.
Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan dadah dan didapati terlibat dengan aktiviti itu sejak awal tahun.
Katanya, saringan air kencing yang dilakukan keatas suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kedua-dua suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











