KUALA LUMPUR 22 Julai- Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor diambil keterangan berhubung siasatan kes video seks luar tabii bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.
Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu hadir kira-kira pukul 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam percakapan.
“Proses rakam percakapan itu selesai pada pukul 11.30 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menafikan dakwaan bahawa dirinya merupakan dalang dalam penyebaran video terbabit dan itu hanya permainan minda dalam media sosial.
Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah lanjut reman terhadap ahli perniagaan yang ditahan di Shah Alam pada Jumaat lalu.
Jelasnya, tempoh reman yang sepatutnya berakhir hari ini telah disambung selama dua hari sehingga lusa.
Sabtu lalu, ahli perniagaan yang dipercayai ditahan di Glenmarie, Shah Alam dekat sini serta Haziq Abdullah, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersama rakannya yang ditahan di Johor disambung tiga hari lagi sehingga esok.-UTUSAN ONLINE











