BACHOK 22 Julai – Biarpun kes serang Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) Sekolah Menangah Kebangsaan Sri Gunung di sini diselesaikan dengan baik namun mangsa, Sirajudin Jusoh tetap membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mohd. Zulkarnain Yusoff berkata, lelaki yang merupakan bapa saudara kepada salah seorang pelajar sekolah itu turut memohon maaf selepas mendapat maklumat sebenar mengenai kejadian itu.
Justeru, beliau meminta orang ramai khsusnya warganet tidak memanjangkan lagi isu itu kerana pihaknya telah mengambil langkah untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak selepas penyerang menyedari kesilapan mereka.
“Saya menjadi perantara dalam kes ini dan saya tidak mahu melihat kekeruhan hubungan keluarga pelajar dan warga guru sekolah ini.
“Saya amat berharap orang ramai memahami situasi ini dan sama-sama menghormati institusi pendidikan sebagai gedung ilmu yang lebih berfokus kepada konsep perbincangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sekolah tersebut di sini hari ini.
Semalam tular di laman sosial video berdurasi 3 minit 31 saat yang memaparkan dua lelaki memarahi seorang guru dalam kawasan sekolah tersbeut sehingga mendapat pelbagai reaksi warganet yang menuntut ibu bapa atau penjaga bersikap matang dalam menyelesaikan isu yang berlaku.
Difahamkan kejadian itu berlaku disebabkan salah faham apabila isteri salah seorang lelaki tersebut dikatakan telah memberitahu suaminya bahawa dia telah dimaki hamun oleh guru tersebut.
Semuanya dikatakan berpunca selepas Sirajudin menghubungi wanita itu meminta mereka datang ke sekolah disebabkan anaknya digantung sekolah. Mangsa dikatakan menghubungi waris pelajar itu selepas dia tidak menyerahkan surat daripada pihak sekolah yang memanggil mereka hadir.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasyi kedua-dua penyerang itu dan sedang mengesannya.
“Pertengkaran itu turut menyebabkan mangsa calar di badan kerana dikasari suspek. Berdasarkan maklumat awal, kita mendapati pertengkaran berpunca daripada anak saudara suspek digantung sekolah hingga berlaku salah faham antara guru dan keluarga.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 447 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dan menceroboh kawasan sekolah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











