KUALA LUMPUR – Kelibat tiga pengadil dari Jepun bakal mewarnai pentas final Piala FA yang menemukan dua jaguh dari utara, Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam yang turut memberitahu, pihaknya teruja menyambut kehadiran pegawai pertandingan dari negara matahari terbit itu.
Kevin optimis penglibatan tenaga daripada wakil Jepun itu bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana final Piala FA sebaliknya dapat memberikan satu kelainan baharu khususnya daripada aspek mutu pengadilan.
Jelasnya lagi, pengadil tempatan turut tidak terlepas daripada perhatian di mana seorang wakil negara akan membantu tiga pegawai pertandingan dari Jepun sebagai pengadil keempat perlawanan dalam memantapkan lagi mutu pengadilan final Piala FA.
“MFL dapat mengesahkan bahawa tiga pengadil dari Jepun akan terlibat dalam aksi final Piala FA 2019 di mana seorang pengadil tempatan kita akan bertindak sebagai pengadil keempat nanti.
“MFL percaya bahawa JFA (Persatuan Bolasepak Jepun) akan memberikan wakil-wakil terbaik mereka untuk menjadi pengadil final Piala FA.
“FAM yang membuat perlantikan (pengadil aksi final Piala FA) di mana saya juga percaya FAM akan memastikan pengadil itu sesuai dengan perlawanan ini dan saya berasa yakin final Piala FA akan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di SNBJ hari ini.
Sementara itu Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar yang turut hadir pada Mesyuarat Pengelola Final Piala FA 2019 mengakui pihaknya turut mengalu-alukan kehadiran pengadil dari Jepun kali ini.
“Perak tiada masalah siapa juga pengadil kerana FAM lebih arif dalam pemilihan pengadil, kita selaku pasukan akur asalkan perlawanan berjalan dengan baik jadi tak perlu kita pertikaikan,” katanya.
Turut senada adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin yang percaya pendekatan FAM dan MFL itu seharusnya dipandang daripada sudut positif.
“Kami menyambut positif dengan lantikan pengadil berkecuali, bukan menidakkan pengadil tempatan, mungkin perlawanan penting ini langkah terbik adalah menggunakan khidmat pengadil asing. Ini kebiasaan berlaku apabila pengadil kita bertaraf FIFA pun menjadi pengadil perlawanan akhir di Liga Filipina,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Kevin turut mengesahkan padang SNBJ telah berada dalam keadaan terbaik dan sedia untuk aksi final Piala FA.
“Kita sudah teliti dalam tempoh sebulan dan MFL mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak stadium kerana mengawal dan menghadkan penggunaan padang.
“Pihak stadium turut berusaha untuk memastikan padang keadaan terbaik untuk aksi final Shopee Piala FA 2019 ini dan MFL berharap tiada sebarang masalah berkaitan padang pada kali ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











