LONDON – Andy Murray menolak kemungkinan dia akan beraksi dalam acara perseorangan kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) dengan memberi bayangan dia memerlukan tempoh 18 bulan sebelum bersedia untuk kembali beraksi dalam acara itu.
Pemain Scotland berusia 32 tahun itu memberitahu, pembedahan pinggulnya berjalan dengan baik terutama selepas dia berjaya beraksi cemerlang dalam acara beregu campuran di Wimbledon.
Walaupun berjaya melangkah ke pusingan ketiga bersama Serena Williams, bekas pemain No.1 dunia itu berkata, dia tidak akan beraksi di New York dalam acara perseorangan.
“Saya rasa ia tidak mungkin berlaku kerana semuanya memerlukan masa.
“Banyak yang perlu dilakukan dari segi fizikal iaitu menguatkan kembali diri saya.
“Masih jauh lagi perjalanan saya untuk kembali ke dalam acara perseorangan, saya perlu bekerja kuat untuk membolehkan saya beraksi dengan baik dalam lima set,” katanya.
Kali terakhir Murray beraksi dalam acara perseorangan ialah di Terbuka Australia, Januari lalu yang menyaksikan dia tewas dalam perlawanan lima set kepada Roberto Bautita Agut.-AFP











