WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak akan memberikan dana penganjuran Piala Dunia 2026 sekiranya Persekutuan Bolasepak AS gagal memberikan bayaran sama banyak kepada pasukan lelaki dan wanita.
Senator West Virginia daripada parti Demokrat, Joe Manchin membentangkan usul baharu itu kepada pembuat dasar selepas dua hari pasukan wanita negara itu merangkul kejuaraan Piala Dunia Wanita buat kali kedua berturut-turut dengan menundukkan Belanda 2-0 di Perancis.
Penyokong bersorak ‘bayaran sama, bayaran sama’ di dalam stadium selepas pasukan wanita mereka merangkul kejuaraan dan pasukan itu turut memfailkan tuntutan saman kepada Persekutuan Bolasepak AS bagi menuntut bayaran sama banyak seperti pasukan lelaki yang gagal meraih sebarang keputusan cemerlang.
AS akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada.
“Tiada sebarang dana daripada kerajaan persekutuan untuk kejohanan Piala Dunia 2026 termasuk negara pengajur, negara peserta atau egensi tempatan sehingga Persekutuan Bolasepak AS bersetuju memberikan bayaran sama rata kepada pasukan bola sepak wanita dan lelaki negara ini,” kata usul baharu itu.
Dewan Senat AS dijangka menyokong peraturan itu dan Presiden AS, Donald Trump juga dijangka bersetuju selepas terlibat dengan pergaduhan di laman Twitter bersama bintang wanita AS, Megan Rapinoe.
Pasukan bola sepak wanita AS mendapat sokongan besar daripada penyokong selepas merangkul kejuaraan Piala Dunia di Perancis dan Kanada, empat tahun lalu.
Berbanding pasukan lelaki, mereka tewas kepada Mexico dalam aksi Piala Emas dan gagal ke Piala Dunia 2018 di Rusia.-AFP











