KUALA LUMPUR 10 Julai – Dua penganggur ditangkap kerana disyaki mengedar dadah susulan penemuan dadah jenis syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Daun, Sungai Tengah, Bau, Sarawak, kelmarin.
Utusan Borneo melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, suspek berusia 23 serta 24 tahun itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bilik di rumah tersebut semasa serbuan dilakukan sekitar pukul 11.30 pagi semalam.
“Pemeriksaan yang dijalankan di atas meja di rumah tersebut telah menjumpai satu beg yang berisi empat peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
“Selain itu, terdapat juga satu paket lutsinar mengandungi 15 tiub straw juga berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ujar Sahar, jumlah keseluruhan dadah tersebut kira-kira 6.25 gram dan dianggarkan bernilai RM1,000.
“Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan hasil siasatan awal mendapati mereka mula mengedar dadah sejak awal tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, Sahar memaklumkan seorang juruteknik berusia 24 tahun yang berasal dari Taman Mutiara, Bau, Sarawak juga ditahan dalam operasi tersebut kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Ketiga-tiga mereka kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Bau untuk tindakan selanjutnya.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan syabu dan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











