KUALA LUMPUR 7 Julai – Seruan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah bagi mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berharap perpaduan itu dapat dilaksanakan kerana orang Melayu adalah kumpulan terbesar dalam negara ini.
“Seperti dijelaskan oleh Perdana Menteri, sampai satu peringkat satu persefahaman perlu dilakukan antara orang Melayu yang mana kini sudah berpecah dalam parti politik masing-masing.
“Saya kira seruan itu berpatutan dan diharapkan pemimpin Melayu yang lain dapat menyambut dengan apa yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. Apa yang disebutkan oleh beliau adalah ikhlas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
Jumaat lalu, Dr. Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.
Beliau berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.- UTUSAN ONLINE











