SEREMBAN 7 Julai- Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menafikan tuduhan bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merancang untuk menyingkirkan beberapa pemimpin parti itu semasa menjalankan tugas sebagai presiden.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau menyifatkan Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ sebagai seorang timbalan presiden yang setia kepada institusi parti tersebut.
Ujarnya, malah Mohamad juga merupakan orang pertama mengalu-alukan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali memimpin parti itu baru-baru ini.
“Saya boleh beri jaminan sepanjang enam bulan Tok Mat memegang tugas presiden, dia tak sesekali membuat gerakan menolak mana-mana pemimpin, bahkan dia tetap setia kepada parti dan institusi.
“Sebelum itu secara konsisten ketika ditanya pandangannya kalau Ahmad Zahid masuk semula, Tok Mat kata boleh datang bila-bila masa. Sebab itu Tok Mat orang pertama mengalu-alukannya sekali gus menutup tohmahan yang dipikulnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rasah di sini hari ini.
Ahmad Zahid baru-baru ini mengumumkan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO selepas bercuti selama enam bulan daripada jawatan itu sejak 18 Disember tahun lalu.
Asyraf Wajdi menegaskan bahawa tidak wujud kumpulan-kumpulan tertentu dalam UMNO dan beliau meminta budaya melaga-lagakan sesama sendiri dihentikan kerana ia akan merosakkan parti itu.
“Kalau ada yang kata ada team Ahmad Zahid, team Tok Mat, team (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) dan team Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), saya jawab itu fitnah.
“Ahli-ahli di peringkat bawah bukan saja di Rasah tetapi di seluruh negara tidak mahu lihat pemimpin bertelagah dan wujud team A,B dan C dalam UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE











