KUALA LUMPUR 7 Julai – Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor bagi sesi 2018-2021.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pelantikan baharu bagi UMNO Selangor turut menyaksikan pelantikan Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd. Rahman Bakri bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Penerangan.
“Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim pula dilantik sebagai Bendahari,” katanya.
Tambah Mat Nadzari , beliau optimis dengan penyusunan semula struktur UMNO Selangor itu akan dapat melancarkan gerak kerja dan perancangan gerak kerja.
“Terima kasih kepada bekas penyandang sebelum ini yang telah menyumbang tenaga, idea dan jasa kepada parti keramat ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











