KUALA TERENGGANU 7 Julai – Dua lelaki dan seorang wanita dari Kuala Lumpur yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun rangkaian kedai 24 jam dan kedai runcit di bandaraya ini Jumaat lalu akhirnya berjaya dicekup semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditangkap di hadapan sebuah hotel di Selayang, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi semalam hasil risikan dan usaha pihaknya menjejaki kenderaan mereka melalui sistem penentu kedudukan global (GPS).
Katanya, kesemua suspek yang menetap di Kuala Lumpur itu berkemungkinan datang ke negeri ini bagi mencari peluang untuk menyamun dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna perak yang disewa di Serdang, Selangor.
“Kejadian samun membabitkan kedai di Ladang dan Cabang Tiga itu berlaku antara pukul 9 malam hingga 9.30 malam. Modus operandi mereka adalah suspek wanita masuk terlebih dahulu untuk bertanya kepada jurujual dan disusuli dengan dua lelaki bertopeng yang bersenjatakan pisau.
“Suspek kemudian balik ke Kuala Lumpur dan menyamun empat lagi kedai lain di sekitar ibu kota serta Gombak sebelum menyewa sebuah hotel di Selayang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri baharu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin di Mess Pegawai Kanan di Bukit Pak Apil di sini hari ini.
Menurut Aidi, saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis pil kuda.
Dalam perkembangan lain, katanya, kes jenayah di Terengganu mencatatkan kenaikan 12 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang kebanyakannya membabitkan kes jenayah harta benda.
Katanya, kecurian motosikal dan lain-lain curi masih lagi mendahului dalam kadar jenayah indeks negeri, justeru pihaknya akan mengadakan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi mengurangkan jenayah berkenaan menjelang akhir tahun nanti.
Beliau turut mengarahkan operasi ditingkatkan di tiga daerah di negeri ini iaitu Kuala Terengganu, Besut dan Dungun berikutan pertambahan kes jenayah harta benda. – UTUSAN ONLINE











