[VIDEO] Polis tahan lelaki jual ratusan senjata api tiruan  - Utusan Malaysia

[VIDEO] Polis tahan lelaki jual ratusan senjata api tiruan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR – Kegiatan seorang penganggur menjual pelbagai jenis senjata api yang disyaki tiruan berakhir apabila dia ditahan di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit dekat sini pada Rabu lalu.

Suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Balai Polis Kaki Bukit kira-kira pukul 8.15 malam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, serbuan ke atas bilik suspek menemui sejumlah senjata api yang disyaki diseludup dari Thailand.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menemui 213 pucuk pistol, 17 laras senapang, 164 biji peluru, 36 botol gas, dua pasang gari dan beberapa aksesori atau komponen senjata api lain yang dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Padang Besar di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan mendapati suspek yang merupakan bapa kepada seorang anak itu menjual semua jenis senjata api melalui satu kumpulan WhatsApp atau khidmat kurier.

“Suspek dipercayai menjual senjata api tiruan ini kepada pelanggan yang dikenali sahaja pada harga antara RM100 hingga RM2,000,” ujarnya.

Menurut Muhamad Halim, lelaki terbabit disyaki berperanan sebagai ejen kepada satu sindiket menjual senjata api tiruan yang mana kegiatan penyeludupan dilakukan pihak lain disyaki warga Thailand.

“Kita percaya senjata api tiruan ini diseludup melalui laluan sah dalam jumlah yang kecil sedikit demi sedikit dari sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian.

“Suspek juga mendakwa menerima bekalan senjata api berkenaan tiga kali seminggu,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan pihak lain yang terlibat dalam sindiket menjual senjata api tersebut termasuk pelanggan.

“Kita akan menyiasat daripada semua sudut kerana bimbang senjata api tiruan ini dibeli individu yang mahu melakukan jenayah memandangkan senjata yang dirampas ini menyerupai senjata asli,” katanya.

Tambahnya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu kerana dia pernah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 2016 kerana cuba menyeludup senjata api tiruan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan dan Seksyen 89 Akta Polis 1957 kerana memiliki, menjual atau membekalkan secara haram peralatan polis tanpa kebenaran,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini