KELANTAN – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi sesi 2019-2023 menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) badan induk itu semalam.
Wan Abdul Rahim yang dikenali sebagai Cikgu Rahim menepati ramalan apabila menang pada pusingan pertama menerusi kiraan 25-20 ke atas ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, namun peraturan menetapkan kemenangan itu mesti majoriti dua pertiga.
Undian pusingan kedua pula menyaksikan Wan Abdul Rahim menang bergaya dengan kiraan undi 28 berbalas 16.
Bagi jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah terus diberi mandat untuk menduduki kerusi No. 2 itu apabila meraih 23 undi.
Afandi yang merupakan orang lama dalam KAFA terpaksa bekerja keras untuk menewaskan pesaing terdekat, Mohammad Yusri Ismail dengan kelebihan dua undi, manakala seorang lagi calon, Datuk Seri Mohd. Zumridi Thambi hanya mendapat dua undi.
Datuk Rowi Dollah, Datuk Shaari Mat Hussain dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Zaliman Sauli pula sebulat suara dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) untuk jawatan Naib Presiden KAFA.
Bagi barisan Exco pula, seramai 10 individu telah dipilih iaitu Zakaria Mat, Wan Rakemi Wan Zahari, Datuk Azman Ismail, Zahari Kechik, Ahmad Muzakir Hamid, Muhammad Nuzulhan, Hanafi Ismail, Zaki Mohd. Zain, Mohd. Asri Mohd. Hussain dan Datuk Ir. Shamin Hassan.
Afandi berkata, gabungan barisan exco yang dipilih kali ini merupakan gabungan muka lama dan baharu.
Katanya, beliau telah dihubungi oleh presiden (Wan Abdul Rahim) yang memaklumkan satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama barisan kepimpinan baharu.
“Saya yakin dan percaya barisan kepimpinan baharu ini mampu memberikan khidmat terbaik dalam usaha memulihkan semula maruah bola sepak Kelantan pada masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Abdul Rahim berkata, beliau berterima kasih kepada perwakilan yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menerajui KAFA.
“Insya-Allah, saya akan mengadakan sidang akhbar esok (hari ini) untuk mengulas lanjut mengenai perancangan KAFA,” katanya.
EGM KAFA diadakan selepas Exco sebulat suara bersetuju menerima desakan daripada PBJ ekoran daripada kemerosotan prestasi skuad The Red Warriors (TRW) dan peletakan jawatan bekas presiden, Bibi Ramjani Ilias Khan.











