Larangan merokok: Apa sudah jadi? - Utusan Malaysia

Larangan merokok: Apa sudah jadi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengumumkan tempoh bagi penguatkuasaan pendidikan di kawasan larangan merokok seperti restoran dan kedai makan dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga Disember ini. Tempoh sebenar sepatutnya tamat pada 1 Julai selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan merokok dimulakan 1 Januari lalu. Tindakan tersebut menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bertujuan membolehkan kerajaan meningkatkan usaha membantu perokok berhenti merokok.

Pengumuman tersebut sedikit mengejutkan. Ketika semua orang menanti bermulanya tindakan ke atas perokok yang melanggar peraturan, tiba-tiba tempoh dilanjutkan selama enam bulan lagi. Tindakan ini sudah tentu menggembirakan perokok kerana mereka masih lagi boleh merokok di restoran dan kedai makan kerana selama tempoh `mendidik’ itu tidak ada tindakan dikenakan. Semoga lebih masa yang diberikan itu dapat meningkatkan pengetahuan perokok tentang kesan buruk merokok dan seterusnya insaf dan berhenti merokok. Bagaimanapun bagi pelanggan yang bencikan asap rokok, langkah tersebut menambahkan lagi penantian mereka untuk melihat kawasan premis makanan benar-benar menjadi kawasan bebas asap rokok. Harapan untuk melihat 1 Julai sebagai tarikh penguatkuasaan undang-undang berlalu bagai asap rokok dibawa angin.

Walaupun ramai perokok bising kerana tidak bersetuju dengan larangan merokok yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, mereka terpaksa akur dan mencari jarak tiga meter untuk merokok. Pada peringkat awal nampak seperti mengikut perancangan. Dalam bising-bising merungut, yang mahu merokok dengan berat hati beredar mencari jarak tiga meter. Duduk jauh-jauh dan merokok sepuas-puasnya. Pelanggan lain merasa aman dan tidak merasa terganggu dengan bau busuk asap rokok. Sesetengahnya pula terus menghidupkan enjin kereta balik ke rumah dan merokok di rumah sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini larangan tersebut seperti sudah tidak dipedulikan. Pergilah ke restoran atau kedai makan 24 jam dan tengoklah sendiri terutama pada waktu malam. Keadaan sudah seperti kembali kepada sebelum ini. Si perokok sudah tidak peduli dengan jarak tersebut. Sambil makan atau minum teh, mereka merokok di meja makan yang diletakkan di kawasan terbuka di luar restoran. Di situ mereka berjemaah merokok. Perlu diingat bukan semua yang duduk di kawasan terbuka itu pelanggan yang merokok. Maka tidak semena-mena mereka pun turut menghidu bau rokok. Kelonggaran tempoh sehingga bulan Disember yang diberikan memberi peluang kepada si perokok untuk terus menikmati kebebasan merokok di restoran dan kedai makan tanpa rasa bersalah dan dihukum.

Penulis masih tidak nampak program `penguatkuasaan pendidikan’ yang dimaksudkan itu. Adakah sekadar ada tanda larangan merokok yang ditampal pada dinding premis menjual makanan dan tidak ada lagi bekas abu rokok disediakan sudah dikira satu `didikan’. Tidak nampak pula pegawai daripada Kementerian Kesihatan atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang datang `berceramah’ kepada para perokok di restoran atau kedai makan. Tugas ini sudah tentunya tidak akan dilakukan oleh pemilik premis berkenaan kerana tindakan itu hanya akan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan. Kalaupun telah ada tindakan mendidik seperti itu pada waktu siang hari, tolong perluaskan kerja-kerja mendidik itu terutama pada waktu malam.

Salah satu sebab tarikh tersebut dilanjutkan adalah hasil kajian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia berhubung penguatkuasaan larangan merokok yang dilihat sangat positif. Selama 17 hari kajian dijalankan bermula 1 April hingga 17 April dan melibatkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapati sebahagian besar masyarakat sudah tidak lagi merokok di kawasan larangan. Secara purata 170 atau 98 peratus premis makan sudah tidak menyediakan bekas abu rokok dan 131 atau 76 peratus tempat makan ini mempunyai tanda larangan merokok yang jelas. Sebanyak 104 atau 60 peratus tempat tersebut bebas 100 peratus daripada sebarang aktiviti merokok manakala 69 atau 40 peratus hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok

Bagaimanapun dapatan kajian ini tidak seharusnya menjadikan semua pihak terlibat cepat berpuas hati. Tempoh penguatkuasaan bagi tujuan mendidik si perokok perlu disertai dengan program-program susulan bagi menjadikan tempoh tersebut lebih berkesan. Pengisian dalam program itu mesti mendatangkan kesedaran kepada golongan sasaran. Kaedah mendekati dan menasihati adalah salah satu cara terutama kepada perokok tegar. Bukannya dibiarkan perokok menghabiskan saki baki masa yang tersisa sehingga Disember ini untuk terus merokok. Sekadar ada papan tanda larangan merokok dan tidak ada lagi bekas abu rokok disediakan masih tidak cukup.
 Dengan berbaki lebih kurang enam bulan lagi, suatu tempoh masa yang tidaklah panjang sangat, semua pihak terlibat perlu memperhebatkan gerakan kesedaran mendidik ini dengan tumpuan menyeluruh di seluruh negara. Jangan hanya mengharapkan si perokok berubah dengan sendiri. Perokok tegar tidak peduli itu semua. Mereka akan merokok, merokok dan terus merokok sehingga nyawa tersangkut pada kerongkong.

Perlu diingat kempen antimerokok yang dijalankan sejak negara mencapai kemerdekaan tidak pernah berjaya. Pelbagai cara diperkenalkan dan sudah banyak wang dan tenaga dikeluarkan namun kempen itu tetap gagal. Larangan merokok di restoran dan kedai makan perlu menjadi pemula kepada kempen antimerokok yang lebih besar. Kempen ini mesti diingati sebagai kempen yang berjaya dan tidak menerima nasib seperti papan iklan besar antimerokok hanya gah menjadi penghias di lebuh raya sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini