Kian Ming jangan ugut rakyat - Utusan Malaysia

Kian Ming jangan ugut rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming digesa untuk tidak mengugut rakyat berhubung isu kenaikan kadar tol jika Kementerian Kewangan tidak mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai malah berkata, tindakan itu hanya dilihat sebagai alasan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk mengutip caj kesesakan.

Kata beliau, rakyat tidak menentang pengambilalihan empat konsesi tol itu dan Kian Ming juga tidak seharusnya menyerang kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) memandangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menaikkan sebarang kadar tol tetapi bertindak menghapuskan beberapa tol.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiada sesiapa yang menentang pengambilalihan tol termasuk Gerakan, namun apa yang amat mengecewakan adalah PH gagal menunaikan janji mereka untuk menghapuskan tol sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kini, mereka menggantikannya dengan caj kesesakan untuk memperdaya rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam media melaporkan, Kian Ming ketika menyampaikan ucaptama pada satu forum berkata, pengguna jalan raya negara ini perlu membayar lebih bagi tol, dengan peningkatan kira-kira 67 peratus jika tidak berlaku perubahan dalam kerajaan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Menurut Guan Eng, tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Bhd. selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Dominic menegaskan rakyat tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka masih perlu membayar malah tidak begitu berpeluang menikmati kadar percuma di luar waktu puncak.

“Para menteri termasuk Guan Eng berulang kali menyatakan pengambilalihan tol itu adalah bagi memanfaatkan rakyat. Jadi, saya perlu tanya berapa banyak orang yang mendapat manfaat daripada Guan Eng ?

“Rakyat menggunakan lebuh raya setiap hari semasa waktu puncak. Jadi mereka tidak dapat menikmati faedah tersebut manakala ketika di luar waktu puncak pula, mereka hanya menikmati diskaun kadar tol sebanyak 30 peratus.

“Akhirnya, mereka perlu `memulangkan’ kepada kerajaan kerana cukai minuman bergula dan levi pelepasan bakal dilaksanakan pada Julai depan,” katanya.

Tambah Dominic, beliau percaya langkah menggantikan pemansuhan tol dengan caj kesesakan boleh membebankan rakyat kerana kadar bayaran itu boleh berlarutan.

“Misalnya, konsesi Kesas dan LDP akan berakhir dalam lapan hingga 10 tahun akan datang dan rakyat akan menggunakan lebuh raya secara percuma pada masa itu, tetapi sekarang selepas pengambilalihan tol, rakyat perlu terus membayar kadar tol tanpa henti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini