KJ berhasrat hantar semula borang pencalonan Presiden MPM - Utusan Malaysia

KJ berhasrat hantar semula borang pencalonan Presiden MPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhasrat menghantar semula borang pencalonan jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) jika dibenarkan bertanding oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ia berikutan MPM membuat keputusan untuk menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-22 MPM yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Saya akan ikut peraturan. Kalau dibuka semula (pencalonan presiden MPM), saya akan hantar borang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika diteruskan dengan pencalonan lama (tidak layak kerana lewat menghantar borang), saya terima,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Gadong dekat sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan paralimpik itu yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Timbalan Presiden MPM, John Ng Keng Chuan dipetik berkata, AGM yang diadakan itu menerima keputusan sebulat suara daripada ahli gabungan bagi menangguhkannya pada tarikh yang dipersetujui Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebelum ini diumumkan tidak layak bertanding jawatan Presiden (MPM) selepas gagal menepati tarikh tutup pencalonan.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau berharap AGM MPM Ke-22 berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah selepas tarikh baharu diumumkan.

“Kali ini perlu dinyatakan dengan jelas tarikh tutup untuk menghantar borang dan jangan ubah atau buka semula untuk elak masalah berulang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini