KUANTAN – Seramai 83 penagih dadah termasuk lima wanita ditahan dalam keadaan khayal di kawasan semak dalam satu operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang di sini hari ini.
Operasi di sekitar Tanjung Lumpur dekat sini juga menyaksikan polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ketua JSJN Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat berkata, pihaknya turut merampas 240.73 gram (g) dadah jenis heroin bernilai kira-kira RM12,000 ketika operasi tersebut.
Ujar beliau lagi, turut dirampas ialah 12.53g syabu dianggar bernilai kira-kira RM1,879 selepas memeriksa semua suspek terlibat berusia antara 20-an hingga 60-an.

“Dua suspek lelaki ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, manakala empat lagi di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah.
“Selebihnya 77 orang lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah selepas ujian saringan air kencing,” kata beliau sejurus tamat operasi.
Tambah beliau, orang ramai harus membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan lokasi sarang penagih melepaskan gian atau kegiatan pengedaran dadah di negeri itu. – K! ONLINE











