JEMPOL – Seramai tujuh lelaki berusia antara 22 hingga 46 tahun diberkas polis dalam serbuan di kebun kelapa sawit di Felda Lui Selatan di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua yang ditahan itu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Serbuan dilakukan di lokasi dikenali sebagai ‘Pot Bukit Kiah’ kira-kira pukul 1.45 petang. Sekumpulan individu melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.
“Seorang lelaki berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan dua tiub straw disyaki berisi dadah berbahaya jenis heroin anggaran berat 0.28 gram dalam poket seluarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pihak polis seterusnya berjaya menahan enam lagi lelaki di lokasi sama antara pukul 2.35 petang sehingga 3.45 petang.
Menurut beliau, kesemua lelaki terbabit dipercayai memasuki kawasan itu bagi mendapatkan bekalan dadah.
Jelas beliau, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif penyalahgunaan dadah jenis morphine dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











