JEMPOL – Seramai tujuh lelaki berusia antara 22 hingga 46 tahun diberkas pihak polis dalam serbuan di Kebun Kelapa Sawit Felda Lui Selatan di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua yang ditahan itu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Serbuan dilakukan di lokasi dikenali sebagai ‘Pot Bukit Kiah’ kira-kira pukul 1.45 petang. Sekumpulan individu melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis di situ.
“Seorang lelaki berjaya ditahan. Pemeriksaan ke atas suspek menemui dua tiub straw disyaki berisi dadah jenis heroin anggaran berat 0.28 gram dalam poket seluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pihak polis seterusnya berjaya menahan enam lagi lelaki di lokasi sama antara pukul 2.35 petang sehingga 3.45 petang.
Menurut beliau, kesemua lelaki terbabit dipercayai memasuki ‘Pot Bukit Kiah’ bagi mendapatkan bekalan dadah.
Jelas beliau, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif penyalahgunaan dadah jenis morphine.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE











