KUALA LUMPUR – Berbeza agama dan kaum bukan penghalang dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia yang hidup aman damai sehingga kini.
Sifat toleransi dan saling bantu membantu antara satu sama lain masih lagi utuh sehinggakan Malaysia dikagumi seluruh dunia.
Tular dalam laman Twitter tindakan seorang lelaki Cina yang sanggup menawarkan bantuan kepada anak-beranak Melayu yang dilanda masalah di Bukit Jalil di sini semalam amat menyentuh hati warga maya.
Kebanyakan warga maya memuji tindakan lelaki berkenaan yang baik hati dan tidak mengira kaum keturunan untuk menghulurkan bantuan.
Semuanya bermula apabila pengguna Twitter yang menggunakan nama @belldybala_ memuat naik status, video dan beberapa keping gambar yang menjelaskan perbuatan baik lelaki berkenaan terhadap dirinya serta bapa dalam kejadian berlaku semalam.
Bantuan diberikan apabila motosikal dinaiki dua beranak itu kehabisan petrol sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat temuduga kerja dan terkandas di tepi jalan raya yang jauh dari stesen minyak.
Lelaki Cina yang tidak diberitahu namanya itu tiba dengan kenderaannya serta menawarkan diri membeli minyak petrol dan tidak meminta sebarang wang daripada dua beranak berkenaan.
Ciapan status @belldybala_ mengenai kebaikan lelaki Cina itu mendapat lebih 24,000 ‘retweet’ serta lebih 18,000 tanda suka.
Seorang pengguna Twitter, @ieyzahhashim dalam ciapannya berkata, perbuatan baik yang diterima oleh dua beranak ini adalah hasil daripada perbuatan baik mereka terhadap orang lain.
“Betul lah tu. Kita buat baik dengan orang, orang akan buat baik dengan kita. Walaupun kita tidak dapat yang sebaliknya, maksudnya, Allah menguji kita. ‘So, be positive’! Ganjaran Allah itu ada, cuma lambat sikit saja,” katanya.
Pengguna Twitter yang bernama @_Vonherig03 pula memberitahu, setiap rezeki yang dinikmati setiap insan turut dimiliki orang lain.
“Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











