Terengganu juara Angkat Berat Kebangsaan Sarawak 2019 - Utusan Malaysia

Terengganu juara Angkat Berat Kebangsaan Sarawak 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Sirkit 1 Kebangsaan Sarawak 2019 apabila meraih 57 pingat dalam saingan di pusat beli belah The Spring di Kuching yang berakhir semalam.

Kemenangan itu membolehkan Terengganu mengetepikan pencabar terdekat, Sabah di kedudukan kedua manakala Sarawak, tempat ketiga.

Lebih membanggakan, seramai lima atlet anak negeri berjaya melakar rekod baharu dalam dua acara iaitu clean & jerk di samping snatch.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Angkat Berat Terengganu, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, bagi kategori Junior, pasukannya mengumpul 15 pingat emas, 13 perak dan tujuh gangsa manakala untuk kategori Senior pula meraih sembilan emas, 11 perak dan dua gangsa.

“Mohamad Norfarhan Ideris yang bertanding acara clean & jerk bagi kategori 109 kilogram berjaya memecah rekod dengan angkatan seberat 177 kilogram di samping Muhammad Azfar Kamaruddin (kategori 81 kilogram) dengan angkatan 164 kilogram dan Mohd. syahir Mat Tera (angkatan 156 kilogram).

“Muhammad Saiful Irfan Abd. Rahim yang bersaing acara sama bagi kategori 73 kilogram pula melakukan angkatan 160 kilogram manakala bagi acara snatch, Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari (kategori 73 kilogram) cemerlang menerusi angkatan 122 kilogram,” katanya di sini hari ini.

KONTINJEN Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior S
KONTINJEN Terengganu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Sirkit 1 Kebangsaan Sarawak 2019 di pusat beli belah The Spring di Kuching, Sarawak yang berakhir semalam. – UTUSAN ONLINE

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Dr. Ong Kong Swee.

Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Sirkit 1 Kebangsaan Sarawak 2019 berlangsung selama lima hari dari 23 hingga 27 Jun lalu dengan membabitkan keseluruhan 13 pasukan di samping 118 atlet yang bertanding.

Menurut Mohd. Shafaruddin, kejohanan dianjurkan Sarawak itu merupakan perlawanan pertama disertai pasukannya selepas berakhirnya temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 pada September tahun lalu.

“Kejohanan seumpama ini dijangka diadakan di Johor pada bulan September diikuti Sabah pada November dan di Terengganu pada tahun depan sebelum penganjuran Sukma di Johor yang dijadualkan pada Julai 2020,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini