IPOH – Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima 2 Briged yang baharu menggantikan Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaafar hari ini.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Padang Kawad Markas 2 Briged di sini hari ini disaksikan oleh Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Mohd. Nizam, 55, yang menerajui 2 Briged pada 25 Februari 2017 bakal memulakan tugas sebagai Pengarah Pengurusan Latihan Tentera Darat (TD) di Markas Latihan TD di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Terdahulu, upacara dimulakan dengan perbarisan seramai 18 pegawai dan 220 anggota disusuli upacara serah terima tugas yang menyaksikan Mohd. Nizam menyerahkan tampuk pemerintahan Panglima 2 Briged kepada Malek Razak.
Ia kemudian diikuti upacara menandatangani dokumen serah terima tugas serta penyerahan tongkat kuasa.
Malek Razak, 52, yang berasal dari Batu Pahat, Johor telah berkhidmat selama 35 tahun dalam TD setelah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja.
Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera di Kementerian Pertahanan selama setahun.
Sementara itu, Mohd. Nizam ketika ditemui mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pelbagai pihak sepanjang kira-kira dua tahun menerajui 2 Briged.
“Saya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak media kerana hubungan baik yang terjalin sekali gus membantu menyampaikan maklumat berkaitan pasukan ini kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











