Terus usaha perbetulkan FGV - Utusan Malaysia

Terus usaha perbetulkan FGV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Konflik antara pemegang saham utama FGV Holdings Bhd. dan ahli lembaga pengarahnya mendidih apabila FGV didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik hingga menyebabkan empat resolusi ditolak termasuk tiga berkaitan pembayaran yuran ketika Mesyuarat Agung Tahunannya, Selasa lalu.

Apa yang dibimbangkan Felda pastinya masa depan peneroka yang merupakan pemegang saham kedua-dua institusi ini apatah lagi FGV dan Felda ‘terikat’ dengan perjanjian pajakan tanah (LLA).

Namun, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid menyifatkan tindakan pemegang saham tidak adil terhadap ahli lembaga yang bertungkus-lumus memperbetulkan FGV. 
Wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON mendapatkan penjelasan beliau berhubung pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap FGV.

Memuatkan artikel berkaitan…

UTUSAN: Laporan media hari ini persoal gaji Datuk dan lembaga pengarah terlalu tinggi dan FGV pula didakwa gagal. Respon Datuk?

AZHAR ABDUL HAMID: Apa yang mewahnya? Kalau kata FGV adalah syarikat yang tiada masalah, semua ok, tak mengapa. Tetapi ini kita banyak kerja nak betulkan. Ia makan masa yang panjang dan perlu lebih komitmen.

UTUSAN : Pemegang saham tidak faham tugas lembaga pengarah?

Bagi saya, mereka perlu berlaku adil pada kami (lembaga pengarah). FGV dulu kerugian besar, tidak ada sesiapa yang bising dan tak cakap apa-apa pun. Sekarang bila lembaga pengarah nak tolong betulkan FGV, cakap gaji kami terlalu tinggi. Ini memang tak patut, sebab kami telus dan tunjuk semua angka berkenaan ketika AGM. Sepatutnya pemegang saham kaji terlebih dahulu sebelum melatah. Dalam hal ini, kita kena adil.

UTUSAN : Betul ke dakwaan ahli lembaga pengarah FGV sekarang tiada ‘roh Felda’?

Ini tak tepat. Sebab kita jaga Felda dan juga peneroka. Dalam soal ini, kita kena faham sebab kita ada pemegang saham lain juga selain Felda dan KPF. FGV adalah syarikat tersenarai dan ini yang perlu kita faham.

UTUSAN : Adakah FGV ambil kira kebajikan peneroka sebenarnya?

Kalau orang cakap kita ambil tak endah, (dakwaan) itu memang tidak betul. Dalam kerusi lembaga pengarah, kita ada dua kerusi untuk Felda, satu diisi oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dan satu lagi belum diisi, jadi adakah tepat kalau cakap kita tak ambil peduli? Sebab apa-apa pun kita kena dapatkan kelulusan lembaga yang ada Felda di dalamnya. Untuk mendakwa kita tak dengar cakap mereka, sangat tidak tepat.

UTUSAN : Apa tindakan Datuk seterusnya?

Saya dah berbincang dengan lembaga pengarah dan sebaik-baiknya kami biarkan dulu proses penyelesaian berjalan. Sehingga bila, kami tidak tahu kerana terpulang kepada pemegang saham untuk selesaikan. Walau apapun, dalam keadaan ini kita akan teruskan kerana kita dah cakap nak tolong. Kita nak betulkan FGV. Kita akan bekerja seperti biasa dan jalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Sebab kita tak nak semua konflik ini merosakkan semua usaha yang telah kita buat selama ini untuk betulkan FGV, bukan sahaja lembaga pengarah tetapi semua kakitangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini