Pengambilalihan konsesi tol kini semakin menjadi perbualan hangat susulan pengecualian tol yang dijanjikan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 hampir menjadi realiti tidak lama lagi. Meskipun begitu, adakah ia semudah ABC? Adakah dengan usaha kerajaan untuk mengambil alih tol akan meringankan beban banyak pihak? Kerajaan sebelum ini sudah menegaskan bahawa caj kesesakan bakal dikenakan bagi menggantikan pembayaran tol. Bagaimana ini akan memberi impak kepada rakyat? Wartawan Utusan Malaysia, NUR HANANI AZMAN mendapatkan pandangan Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), TAN SRI DR. RAMON NAVARATNAM yang memiliki pengalaman bekerja di Kementerian Kewangan lebih 30 tahun dan Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., DR. MOHD. AFZANIZAM ABDUL RASHID tentang hal ini.

RAMON NAVARATNAM
Kos RM6.2 bilion pengambilalihan ini akan dibiayai oleh terbitan bon. Wajarkah?
Ia tidak menjadi hutang lagi buat masa ini. Situasi ini dipanggil liabiliti luar jangka. Ia berisiko jika gagal bayar balik menerusi pungutan caj kesesakan, pada akhirnya, bon itu tidak boleh ditebus. Ini seterusnya akan menjadi hutang kepada kerajaan. Selain itu, pengambilalihan ini perlu adil buat rakyat dan tidak lupakan kerajaan. Seperti saya katakan sebelum ini, ia hanya akan menambah hutang kepada kerajaan. Berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan sekarang, ia mewujudkan suasana tidak kondusif.
Apa pula implikasi kepada rakyat?
Apabila hutang kerajaan naik, sudah pasti ada pihak yang akan menerima impak daripada itu. Siapa lagi kalau bukan rakyat? Ini tidak memberi penyelesaian dan dalam masa sama menyukarkan kerajaan menepati janji manifesto. Saya faham, apa yang kerajaan cuba lakukan ini untuk membantu meringankan beban rakyat, tetapi kita perlu berdepan realiti. Sedang kerajaan berusaha memberi yang terbaik kepada rakyat, kadar hutang kerajaan perlu diberi perhatian.
Konsepnya mudah sahaja, apabila kerajaan tidak menambah hutang, sudah pasti rakyat atau pembayar cukai tidak menjadi mangsa. Ia juga dapat membantu rakyat dari segi tiada pengenalan cukai baharu atau peningkatan cukai serta caj lain.
Adakah caj kesesakan memberi manfaat kepada rakyat?
Caj kesesakan dilihat dapat memberi ruang dan peluang kepada pengguna lebuh raya mengatur perjalanan masing-masing dan akhirnya mengurangkan kesesakan terutama di ibu kota. Bagaimanapun, saya merasakan kerajaan patut memberi pengecualian tol kepada kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan rendah (B40) berbanding penyelesaian caj kesesakan yang dilihat tidak akan memuaskan hati rakyat. Bagaimanapun, saya akui memang sukar untuk mengenalpasti individu yang tergolong di bawah B40.
MOHD. AFZANIZAM ABDUL RASHID

Bagaimana pula pendapat Dr. terhadap usaha kerajaan ini?
Pengambilalihan tol merupakan usaha meringankan beban rakyat dan para peniaga yang menggunakan lebuh raya. Mungkin selepas ini, para peniaga perlu merancang perjalanan mereka bagi mengurangkan kos pengangkutan. Pihak kerajaan pula perlu membuat tindakan susulan seperti menguatkuasakan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi memastikan harga barang sekurang-kurangnya dapat distabilkan.
Perkara ini bagi memastikan tindakan kerajaan untuk berbelanja sejumlah wang yang besar dapat mencapai objektif mengawal kos sara hidup terutama bagi masyarakat bandar. Ini penting kerana kuasa beli rakyat amat bergantung kepada paras harga barang dan perkhidmatan selain daripada faktor gaji dan upah.
Kesan kepada perbelanjaan kerajaan pada masa akan datang?
Memandangkan kerajaan menghadapi kekangan kewangan, perbelanjaan seterusnya perlu mengikut keutamaan. Dalam hal ini, sektor pendidikan dan kesihatan perlu diberi keutamaan memandangkan negara mahu menuju negara maju.











