Kapal bersauh tanpa kebenaran ditahan - Utusan Malaysia

Kapal bersauh tanpa kebenaran ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan menahan sebuah kapal dagang yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 2.8 batu nautika (5.1 kilometer) dari Barat Daya perairan Banda Hilir dekat sini semalam. 

Pengarahnya, Kepten Maritim Amran Daud berkata, dalam kejadian pukul 7 malam, kapal dagang yang berdaftar di Pelabuhan Klang, Selangor itu dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Melaka oleh sepasukan anggota peronda Maritim Malaysia 
yang sedang menjalankan operasi harian.

“Kapal tersebut iaitu MT Nautica Batu Pahat gagal menunjukkan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ditahan terdapat sebanyak 22 orang kru kapal termasuk ketua yang berusia antara 20 hingga 51 tahun. Bagaimanapun daripada jumlah itu hanya tiga kru yang diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua anak kapal berasal dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia serta pekerja tempatan.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952. 

Jika sabit kesalahan kata kenyataan itu, pihak terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

kapal
KAPAL dagang Nautica Batu Pahat yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan 2.8 batu nautika Banda Hilir di Melaka malam tadi. – UTUSAN ONLINE/ Ihsan Maritim Malaysia

Menurut Amran, ini merupakan kes kesembilan yang disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau menghubungi talian kecemasan 999 yang beroperasi secara 24 jam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini