GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini berharap status zon merah yang diisytiharkan terhadap perkampungan mereka segera berakhir.
Hal ini kerana penduduk mahu bergerak bebas seperti sebelum ini memandangkan tiada lagi kes terbaharu berkaitan jangkitan demam campak dilaporkan di kawasan itu.
Penghulu Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok berkata, kebanyakan penduduk Orang Asli di kampung itu tertekan apabila tidak dapat bergerak bebas kerana status zon merah.
Katanya, mereka sudah biasa berpindah-randah ke dalam hutan, namun ketika ini mereka diminta mengurangkan aktiviti itu.
“Secara keseluruhan penduduk daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa juga sudah mendapat rawatan saringan.
“Mereka juga bersedia untuk menerima suntikan vaksin bagi mengelak dijangkiti penyakit berjangkit seperti demam campak,” katanya di sini hari ini.
Seorang penduduk, Lan Hamdan, 23, berkata, walaupun kebanyakan penduduk sudah kembali ke kampung asal dan menjalani kehidupan normal, namun mereka berasa tidak bebas.
Katanya, mereka hanya dinasihatkan untuk tinggal di kawasan kampung itu sahaja.
“Kami tidak dapat lagi berjumpa dengan saudara-mara di kampung lain. Mereka juga tidak dapat berkunjung serta menziarahi kami di kampung ini.
“Kebiasaannya, saya bersama rakan di kampung yang lain akan masuk hutan untuk mencari rezeki termasuklah mencari ikan sungai dan memburu binatang,” katanya.
Cik Halim Manis, 63, pula berkata, selepas jangkitan wabak itu, suku kaum Bateq di kampung ini seolah-olah dipandang serong apabila penduduknya dikatakan berpenyakit.
Katanya, selepas jangkitan penyakit itu, hubungan mereka dengan penduduk Orang Asli kampung lain juga seperti sudah terputus.
Setakat ini polis masih mengklasifikasikan perkampungan Kuala Koh sebagai zon merah selepas jangkitan wabak demam campak menyebabkan kematian 15 penduduk Orang Asli suku Bateq baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kampung berkenaan masih belum selamat dengan jangkitan wabak dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki kawasan itu.
Katanya, mereka yang mahu memasuki kawasan itu hanya dibenarkan setakat di Kampung Aring 10 sahaja kerana laluan itu masih dikawal anggota Pasukan Gerakan Am (PGA). – UTUSAN ONLINE











