PUTRAJAYA – Bandar Pasir Gudang, Johor akan menjadi kawasan industri berat pertama yang mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik di negara ini
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, pembinaan stesen pencerapan gas automatik itu dapat memberi amaran bencana kimia secara lebih cekap dan pantas.
“Reka bentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bee Yin berkata, MESTECC juga akan mewujudkan sistem untuk menentukan ‘carrying capacity’ udara di Pasir Gudang dengan menggunakan kaedah Air Dispersion Modelling seperti mana yang diamalkan di negara maju.
“Kementerian juga akan mengadakan analisis ‘loading capacity’ dan penampan zon bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia.
“Kesemua cadangan tersebut disasarkan dapat dilaksanakan dengan kadar segera sebelum hujung tahun ini.
Sementara itu, Bee Yin berkata, kementerian juga akan mengadakan satu sesi townhall bersama pihak industri bahan kimia di Pasir Gudang pada Isnin ini.
“Kami akan membincangkan mengenai apakah langkah berjaga-jaga yang boleh kita ambil untuk mengelak insiden ini dan bagaimana kita memantaunya dengan lebih holistik,” ujarnya. – K! ONLINE











